Terdapat segelintir golongan yang mengaku muslim berkempen agar bayar Zakat terus kepada Asnaf. Perbuatan tersebut seolah-olah membayangkan ajaran Islam tidak sempurna dan kurang lengkap.
Betulkah ajaran Islam tidak sempurna termasuk pengurusan Zakat dan pengagihannya kepada Asnaf? Sehingga tergamak menyuruh bayar Zakat terus kepada Asnaf. Adakah Allah SWT dan Nabi SAW ‘terlupa’ atau ‘lalai’ mengajarkan tentang bagaimana menguruskan wang Zakat dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis?
Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda(maksudnya):“Tidak tertinggal sedikitpun yang mendekatkan kamu dari syurga dan menjauhkanmu dari neraka melainkan telah dijelaskan bagimu ” (Hadis Riwayat At-Thabraani dalam Al Mu’jamul Kabiir no. 1647)
Orang Beriman Tidak ada Hak Memilih Kehendak Sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Al Ahzab : 36)
Pengurusan Zakat pula bagaimana? Sesungguhnya sangat terang dan jelas, Allah SWT telah menetapkan bahawa Amil yang menguruskan Zakat sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:”.. dan amil-amil yang mengurusnya(Zakat)..”(Surah At-Taubah,ayat 60).
Dan Sabda Nabi SAW lagi (maksudnya):"Akan datang kepada kamu Amil yang tidak kamu sukai iaitu para amil zakat, maka jika mereka datang kepadamu sambutlah dengan baik, dan serahkanlah kepada mereka apa yang diminta, maka apabila mereka berbuat adil mereka akan mendapatkan pahalanya, dan apabila mereka berbuat zalim maka celakalah mereka, dan buatlah mereka redha kerana sesungguhnya kesempurnaan zakatmu adalah ada pada keredhaan mereka dan agar supaya mereka mendoakanmu."[HR.Abu Daud].
Dari Anas bin Malik r,a. katanya:Seorang daripada Bani Tamim datang mengadap Rasulullah SAW,lalu meminta penjelasan, Katanya:”Ya!,Rasulullah, cukupkah apabila saya membayar zakat kepada utusan tuan(Amil) maka dengan yang demikian terlepaslah tanggungan saya di sisi hukum Allah dan Rasul-Nya, mengenai zakat saya itu?” Maka jawab Rasulullah SAW.:” Ya(benar), apabila engkau membayar kepada utusanku(Amil) maka terlepaslah tanggunganmu mengenainya, selain itu engkau mendapat pahalanya, dan (kalau ada pemungut zakat) yang menyelewengkannya maka dialah yang menanggung dosanya”. (Hadis Riwayat Muslim]
Disebutkan oleh Sa’id Ibn Mansyur daripada Suhail r.a, bahawa: “Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada Zakat, yakni telah sampai Nisab Zakat, maka aku bertanya kepada Sa’ad bin Abu Waqas, Ibn Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah, kataku: Apakah aku (patut) membahagikannya (sendiri) atau aku berikan kepada pemerintah(Amil)? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada pemerintah(Amil). Seorang pun tidak ada antara mereka yang menyuruh aku membahagikannya sendiri.” (Disebutkan di dalam Kitab al-Majmu’)
Pemerintah Kutip Zakat:
Allah SWT perintahkan agar Zakat dikutip atau diambil oleh pihak berkuasa( pemerintah), Firman Allah SWT (maksudnya):’’Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (Zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."(Al-Taubah : Ayat 103)
Dalam usaha merealisaikan perintah Allah SWT di dalam ayat 103 tersebut, Nabi Muhammad SAW turut mewakilkan urusan kutipan Zakat kepada para sahabat Baginda, iaitu para amiliin. Antara sahabat Nabi SAW yang terkenal sebagai Amil Zakat ialah Muadz bin Jabal, Umar Ibnul Lutbiah, Rawahah bin Abdullah al-Ansari dan Ubadah bin Somit (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 47-49).
Kepada mereka ini, Rasulullah SAW memberikan perincian tentang tugasan amil, seperti mana Nabi SAW pernah mengungkapkan kepada Muadz: “Ajaklah mereka kepada Syahadah (persaksian) tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah & bahwa aku adalah utusan Allah. Jika mereka telah mentaatinya, maka beritahukanlah bahawa Allah mewajibkan atas mereka Solat lima waktu sehari semalam. Dan jika mereka telah mentaatinya, maka beritahukanlah bahwa Allah telah mewajibkan atas mereka sadaqah (Zakat) dari harta mereka yang diambil dari orang-orang kaya mereka & diberikan kepada orang-orang faqir mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari )
Dalam hadis tersebut, Nabi SAW memerintahkan Muaz bin Jabal mengutip Zakat daripada orang kaya kemudiannya diagihkan kepada Asnaf. Nabi SAW tidak menyuruh Muaz berkempen kepada umat Islam supaya mereka sendiri agihkan Zakat terus kepada Asnaf.
Inilah kaedah yang telah diajarkan oleh Baginda SAW. Maka sewajarnya kita sebagai muslim hendak mengikut kaedah yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (QS Al-Ahzab:21)
Dan Ikutlah ajaran Islam, Jangan Ikut ajaran orang lain, Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa". (Al-An'aam: 153).
Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat secara terang-terangan telah menukilkan, bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pemerintah menugaskan para pemungut Zakat(Amil), yakni sesuai dengan saranan sunnah dan mestilah menepati dengan segala kriteria yang telah pun ditetapkan oleh syarak.
Kesimpulannya, Zakat sama ada urusan kutipan dan agihannya, adalah sebahagian daripada urusan pemerintahan.
"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda...orang yang memulakan satu tradisi yang buruk, maka dia berdosa dan ditimpakan pula dosa ke atasnya bagi orang-orang yang mengikuti perbuatannya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun". (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 52).